Tuesday 21 March 2017

SABOTAJ Punca PAS Putuskan Hubungan dengan PKR


Hubungan yang kononnya terbina atas dasar kepercayaan kini tidak lagi mampu dipertahankan apabila PAS Permatang Pauh meluluskan usul untuk memutuskan hubungan tahaluf siyasi dengan PKR selepas melihat parti itu tidak menghormati kerjasama yang terjalin sejak sekian lama.

Bait-bait perpecahan ini sebenarnya sudah dilihat lebih awal apabila PKR masih lagi terus bermain tarik-tali dengan PAS dalam isu membabitkan hubungan parti-parti yang mengaku bersama dalam pembangkang.

Sejak tertubuhnya Pakatan Harapan lagi , PAS sebenarnya sudah mula hilang keyakinan terhadap dasar Pakatan Harapan itu sendiri.Selain daripada isu membabitkan PAS dengan DAP , tindakan PKR yang terus bersekongkol dengan PAN dilihat sebagai antara penyebab kenapa PAS membuat keputusan tersebut.

Namun disebalik semua alasan itu , PAS Permatang Pauh tampil dengan alasan yang jauh lebih mengejutkan apabila parti itu mengaku PKR kini bukan sahaja sedang bermain wayang tetapi sudah sampai ke tahap melakukan sabotaj terhadap parti tersebut.

Yang Dipertua Pas Permatang Pauh, Omar Hassan berkata, PKR khasnya di Pulau Pinang tidak menghormati Pas sebagai rakan tahaluf apabila terus bekerjasama dengan DAP dan Parti Amanah Negara yang sebelum ini dengan lantang menyerang Pas dan pimpinannya.

Selain itu, Omar berkata, PKR didapati sewenang-wenangnya menggunakan sebilangan ahli Pas untuk kepentingan politik PKR tanpa perbincangan terlebih dahulu dengan Pas.

"Lebih memudaratkan, terdapat aduan daripada ahli Pas bahawa PKR meminta ahli kami untuk keluar daripada Pas dan sertai mereka bagi tujuan memegang jawatan tertentu di dalam kerajaan.

"Sifat tidak bertanggungjawab oleh PKR ini menunjukkan PKR sangat tidak menghormati prinsip setia kawan dan boleh menjejaskan Pas," katanya pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Agung Pas Kawasan Permatang Pauh kali ke-40 di sini, hari ini.

Terdahulu, perwakilan daripada Cawangan To' Kandu mengusulkan supaya Pas membatalkan hubungan tahaluf siyasi dengan PKR sekali gus bertanding di kerusi Parlimen Permatang Pauh dan tiga kawasan Dun dalam parlimen berkenaan.

Usul berkenaan diterima sebulat suara oleh kesemua perwakilan yang hadir.

Mengulas lanjut, Omar berkata, PKR juga dilihat gagal membela serta mempertahankan Islam di negeri ini apabila secara terang-terangan menurut kehendak DAP dengan mencampuri urusan penfatwaan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang.

Menurutnya, terdapat beberapa fatwa yang dilengahkan dan ditangguhkan oleh PKR dan DAP melalui Exco Agama Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

"Tindakan tidak bertanggungjawab Exco Agama ini menunjukkan kepentingan politik PKR lebih diutamakan mendahului kepentingan Islam dan Pas tidak boleh bersetuju dengan keadaan ini.

"Tindakan PKR itu juga memberi pelbagai implikasi antaranya merugikan Islam, bertentangan dengan prinsip tahaluf siyasi dan menjejaskan kedudukan Pas untuk berhadapan dengan pengundi Islam dan Melayu di dalam PRU14 kelak," katanya.

Apakah keputusan ini bakal membawa perubahan di Permatang Pauh pada PRU14 nanti ?

0 comments:

Post a Comment